Seperti yang kita sedia tahu kenderaan memerlukan tayar untuk bergerak. Tanpa tayar, maka sesebuah kenderaan itu tidak boleh bergerak walaupun satu inci. Begitu juga dengan tayar kereta, cara tukar tayar kereta merupakan perkara yang paling penting.

 

Bukan bateri kereta sahaja yang memerlukan penyelenggaraan berkala, malah tayar kereta juga memerlukan service yang berkala untuk memastikan tekanan angin dan tahap kahausan pada tayar kereta tersebut.

 

Sekiranya anda masih menggunakan tayar yang pancit dan haus dalam jangka masa yang lama, ia boleh menyebabkan tayar kereta tersebut pecah dan meletup lalu boleh mengalami kemalangan.

 

Kemalangan kereta yang menyebabkan tayar pecah seringkali berlaku dan tahap serius sesuatu kemalangan itu bergantung pada had laju kenderaan tersebut. Ada kemalangan yang menyebabkan kereta terbalik dan juga pemandu meninggal dunia.

 

“Tayar kereta aku pecah dekat tengah jalan ni, nak buat apa?”

 

Sekiranya anda berlaku pengalaman seperti ini, apa yang anda perlu buat? Jika tayar kereta anda tiba-tiba pecah atau pancit di atas jalan raya, untuk kaum perempuan dan juga lelaki mesti mereka berasa panic dan terus call ayah, abang ke atau pun rakan-rakan untuk membantu kan?

 

Situasi seperti ini merupakan situasi yang paling kita tidak mahu dan kalau boleh, kita mahu dijauhi daripada melalui pengalaman seperti ini kan? Sebenarnya tayar kereta pancit mempunyai beberapa faktor iaitu:

PUNCA TAYAR PANCIT & MUDAH PECAH

  •  Tayar kekurangan angin
  •  Sering melanggar benda dan objek tajam
  •  Rim kereta bengkok
  •  Kerap bawa kereta laju pada jalan yang berlubang atau ‘lopak’
  • Batu kecil terselit pada celahan tayar

 

Sekiranya anda pernah melanggar ‘lopak’ di atas jalan raya dan terdengar bunyi sesuatu yang anda tidak pernah dengar dan pada masa itu stereng kereta anda tidak boleh dikawal, pada masa ini anda perlu mengambil serius kerana mungkin berlakunya tayar pecah atau pancit secara mendadak yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.

 

Pastikan anda sering memeriksa kondisi tayar kereta untuk memastikan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Nanti kalau tayar kereta selalu pancit dan pecah habis lah duit kan?

 

Satu tayar kereta pun dah dalam lingkungan seratus lebih, nanti kalau empat tayar kereta yang rosak macam mana? Ha habis terus lah duit simpanan. Sebenarnya nak tukar tayar kereta ini tidak susah yang anda jangka kan pun kerana anda boleh je buat sendiri mahu lelaki dan perempuan. Mungkin bagi anda, anda boleh sahaja hubungi orang terdekat untuk membantu menukar tayar kan?

 

Tetapi cuba bayangkan sekiranya kejadian tersebut berlaku di pedalaman atau pun mana-mana jalan yang sunyi dan tidak mempunyai network coverage. Mungkin pada masa itu, anda tidak boleh hubungi sesiapa pun.

 

Jadi, anda boleh je menambah ilmu untuk menukar tayar kereta sekiranya anda berada dalam kecemasan jadi ia lebih memudahkan urusan anda dan tidak perlu berasa panik.

 

Sebelum anda mahu menukar tayar kereta, anda memerlukan beberapa alatan seperti dibawah

  •        Jack untuk mengangkat kereta
  •         Spanar
  •         Tayar ganti
  •         Pemutar jack

CARA MUDAH TUKAR TAYAR KERETA

LANGKAH 1: Berhenti Di Tempat Yang Rata & Selamat

Sekiranya anda mendapati tayar kereta anda pancit dan pecah, pastinya stereng kereta anda akan susah untuk dikawal. Jadi, jangan panik dan membuat sesuatu terburu-buru.

 

Apa yang anda perlu buat ialah, perlahankan kereta anda dan berhenti di tepi jalan raya. Pastikan jalan raya tersebut berada di kawasan yang rata dan selamat. Elakkan berhenti di tepi tebing yang curam untuk mengelakkan daripada kereta tersebut tergelincir daripada jack kereta.

 

Untuk kaum wanita pula, pastikan anda berhenti di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai supaya ia tidak membahayakan keselamatan anda. Pastikan anda pasang lampu dan letakkan kon kecemasan sebagai amaran untuk kereta yang datang dari arah belakang.

LANGKAH 2: Keluarkan Semua Peralatan Yang Diperlukan

Keluarkan kesemua peralatan yang diperlukan seperti jack untuk mengangkat kereta, spanar, pemutar jack dan juga tayar ganti. Kebiasaannya kesemua peralatan tersebut berada di bawah karpet pada bonet belakang kereta anda.

 

Setiap kereta zaman sekarang semestinya sudah dilengkapi dengan kesemua peralatan tersebut. Sekiranya kereta anda tidak mempunyai peralatan tersebut anda perlu memastikan bahawa anda mempunyainya mulai sekarang.

LANGKAH 3: Longgarkan Nat Tayar Pada Rim

Untuk melonggarkan nat tayar pada rim, anda boleh menggunakan wheel brace dan letakkan jack pada bawah kereta anda dan ia adalah berdekatan dengan tayar kereta.

Anda boleh gunakan spanar tersebut secara melawan arah jam (anti-clockwise). Anda tidak perlu untuk menanggalnya terus kerana melonggarkan nat tersebut juga sudah memadai.

 

LANGKAH 4: Pasangkan Jack 

Pemasangan jack kereta memerlukan cara yang betul, sekiranya ini adalah pertama kali anda jack kereta maka anda perlu pastikan bahawa jack tersebut berada dibawah kereta dan kedudukannya adalah paling hampir dengan tayar kereta.

 

Pastikan jack tersebut betul-betul masuk pada rangka kereta dan anda boleh pusingkannya mengikut lawan arah jam. Pastikan anda tidak jack kereta terlalu tinggi kerana ia boleh menyebabkan kereta anda tergelincir.

 

LANGKAH 5: Buka nat & ganti tayar dengan tayar ‘spare’

Selepas selesai jack kereta, anda boleh buka semua nat pada tayar kereta tersebut dan perlahan-lahan cabut tayar kereta itu keluar. Bawa keluar tayar yang sudah tidak elok itu dengan tayar ‘spare’ yang telah disediakan.

Semasa meletakkan tayar spare pastikan anda sudah seimbangkan tayar tersebut dan ketatkan semula nat tayar pada masa yang sama, proses ini memerlukan tenaga yang lebih.

LANGKAH 6: Turunkan kereta dan ketatkan nat tayar

Setelah selesai meletakkan tayar ganti tersebut anda perlu memastikan kesemua nat yang telah diletakkan itu adalah ketat. Turunkan kereta anda secara perlahan-lahan dan pastikan anda pijak pemutar jack tersebut atau lug wrench dengan kaki bagi memastikan nat itu betul-betul kuat dan selamat.

 

Senang je kan nak tukar tayar kereta? Selepas ini tak perlu dah anda berasa panik dan risau sekiranya berlaku kejadian seperti ini. Cuma anda perlu pastikan kesemua peralatan tersebut sudah ada di dalam kereta, sekiranya tidak ada, cepat-cepat beli dan simpankannya di dalam kereta pada bahagian bonet belakang.

 

Sekiranya anda telah menggunakan tayar spare tersebut maka, cepat-cepat lah ganti tayar tersebut dan letakkannya di dalam kereta supaya kereta anda sentiasa ada tayar ganti untuk mengelakkan sebarang kejadian berlaku. Untuk pengetahuan anda, tayar ganti yang berada di dalam kereta kita hanya boleh bergerak secara purata 80 km hingga 113 km dan pada kelajuan maksimum 80km/j sahaja tau.

 

Jadi, selepas menggantikan tayar anda. Sekiranya anda sudah memulakan perjalanan pastikan anda take note tentang perkara ini dan pergi ke bengkel berdekatan untuk menukar tayar yang baru.